SIRI 5/2007

oleh : Azlina Dollah (77)

Jerantut, Pahang Darul Makmur

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Assalamualaikum. Syukur Alhamdulillah. Ruangan Celoteh Kak Azlina menjengah lagi bersama matahari 2007 mengintai di celah nimbus yang masih sarat. Apa khabar warga EXSAS? Harap semuanya sihat dan selamat serta ceria memulakan kembara tahun 2007. Kepada adik-adik yang ingin berkongsi cerita menarik ketika menghantar anak-anak yang baru masuk sekolah, sudikanlah menghantar tulisan ke ruangan ini.


Minggu ini akak jemput seorang lagi rakan EXSAS untuk berceloteh di sini. Semoga kita dapat menggarap maklumat dan pemikiran yang diutarakan sekaligus menterjemahkan garapan itu kepada tindakan yang sewajarnya.

Salam sejahtera,

Sepanjang minggu lepas, penulis membaca, mendengar dan meneliti beberapa artikel dan berita menarik yang boleh dikongsi bersama, terutamanya bagi kita yang bergelar ibu bapa.

Satu artikel yang menarik perhatian penulis ialah berkenaan teori terbaru bagaimana dinosaur pupus dari muka bumi berjuta tahun dahulu. Secara konvensional, dinosaur dikatakan pupus kerana pertukaran cuaca yang mendadak serta bencana alam seperti hujan meteor, kebakaran dan sebagainya. Itu yang pernah kita dengar, baca dan daftarkan dalam fikiran kita. Itu jugalah yang kita beritahu kepada generasi anak kita. Itu jugalah yang dimaktubkan dalam buku dan makalah sebagai arkib pengetahuan. Bagaimanapun baru-baru ini sekumpulan pengkaji sains telah mengemukakan satu teori baru mengenai kepupusan tersebut. Dikatakan dinosaur pupus kerana kurang tidur nyenyak.

Dinosaur merupakan reptilia, justeru reptilia dan burung dikurniakan tuhan tidak boleh tidur nyenyak (mungkin boleh dikaitkan dengan simpulan bahasa ‘tidur-tidur ayam’), didapati fakulti mereka untuk mencipta kemahiran-kemahiran baru adalah terlalu lemah berbanding dengan mamalia. Antara kemahiran ini termasuklah kemahiran untuk mengatasi kesusahan dan tekanan. Oleh itu, apabila berlaku fenomena perubahan cuaca serta malapetaka lain, dinosaur tidak dapat menggunakan otak mereka untuk keluar dari kesengsaraan tersebut. Akhirnya mereka terperangkap dalam kelemahan mereka lalu pupus.

Begitu, kita boleh mengambil beberapa rumusan dari teori ini. Bagi penulis, tidur mamalia (tidur nyenyak) adalah penting dan perlu. Lebih banyak masa kita tidur – tanpa melepasi tahap optima – lebih tinggi keupayaan kita untuk mempelajari kemahiran baru. Rasanya ini boleh dibuktikan dengan mudah. Mereka yang berjaya selalunya memperolehi tidur yang cukup dan sentiasa ‘taat’ dengan masa tidur mereka.

Selang beberapa hari membaca artikel menarik ini, penulis mendengar berita yang tidak konvensional mengenai cadangan beberapa sekolah di Amerika Syarikat untuk menganjak masa persekolahan dari jam 7:50 pagi ke jam 8:30 pagi. Walaupun tidak ada kena mengena dengan artikel dinosaur di atas, rasional keduanya hampir sama. Dikatakan mutu pembelajaran murid Amerika menurun, kerana terpaksa bangkit terlalu awal untuk kesekolah, sedangkan tidur mereka tidak cukup kerana terlampau banyak aktiviti di sebelah siang dan malam. Akibatnya, mereka tidak cerdas, tertekan dan tidak aktif dalam kelas. Cadangan tersebut sedang dipertimbangkan oleh pengurusan beberapa sekolah tersebut.

Sebenarnya jika dikaji, fenomena ini lebih terserlah di tanah air. Jika diambil hari tipikal persekolahan anak-anak kita secara rambang, kita sendiri akan ‘sayu’ melihat bagaimana hari mereka yang mungkin lebih sibuk daripada hari tipikal seorang wakil rakyat. Sebelah pagi seawal jam enam mereka bangun, kemudian ke sekolah hingga tengahari. Balik untuk makan tengahari sebelum pergi semula untuk kelas agama. Balik dari kelas agama, bergegas pula ke tuisyen petang. Sebelah malam, terpaksa buat kerja sekolah. Dan tidur dalam ‘tekanan’ pagi petang.

Diberi keadaan sedemikian, pun kita lihat kadar pencapaian akademik boleh dikatakan baik dan meningkat dari tahun ke tahun. Namun, dalam jangka panjang, kita lihat kualiti mereka semakin berkurangan. Minat mereka menjadi ‘tepu’ selepas terlampau lama hidup dalam tekanan sekolah. Itu belum diadun dengan kerenah dan ragam autoriti pelajaran yang sering mengeluarkan polisi baru yang mewujudkan tekanan tambahan kepada guru dan murid.

Fenomena tepu ini dimanisfestasi sewaktu mereka remaja. Apabila ‘tekanan’ persekolahan berkurangan, ruang lompang tersebut digunakan untuk kegiatan lain, termasuklah gejala sosial seperti bohjan, bohsia dan mat rempit. Ini cukup terserlah terutamanya di kawasan-kawasan penduduk yang berpendapatan rendah (walaupun ada faktor-faktor lain yang mempengaruhinya).

Anak-anak ini membesar tanpa mempunyai minat untuk belajar – akademik atau bukan akademik. Jika kita selalu di kedai kopi dan melihat kelompok anak remaja, kita boleh taksirkan sendiri melalui perbualan mereka yang hanya terhad kepada material alam remaja mereka. Subjek selain daripada subjek itu, membosankan mereka lantas mereka tidak berminat. Semua isu yang memerlukan kupasan akan dilihat sebagai ‘berat’ dan tidak mendatangkan faedah. Jauh sekali mereka ingin berfalsafah mengenai hidup dan mati.

Kesimpulannya, kita sebagai ibu bapa yang sayangkan anak-anak kita dan menanggung amanah untuk memberikan mereka yang terbaik seharusnya tampil mengambil resolusi untuk menuntut keadaan yang lebih adil kepada anak-anak kita. Kita perlu, melalui forum yang betul, memberi tekanan kepada autoriti untuk mengurangkan tekanan dan bebanan kepada anak-anak kita. Jika tidak, kita akan berterusan hairan kenapa kebanyakan masalah sosial seolah-olah ekslusif kepada anak Melayu sahaja.

Kita perlu mengkaji dari akar umbi, bukan hanya berdepan dengan mat rempit setelah mereka bergelar mat dan minah rempit. Itu mungkin telah terlalu lewat. Ringkasnya, kita perlu menghayati semula perumpamaan “melentur buluh biarlah dari rebung”. Mungkin semuanya bermula daripada tidur.

Wassalaam.

Menjadi Ahli EXSAS

Keahlian EXSAS terbuka kepada bekas pelajar SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan (SEMSAS) yang dahulu dikenali sebagai SM Sains Pahang (SMSP). Daftar DISINI.

Akaun Bank EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar Semsas

Bank : Maybank Berhad, Cawangan Kelana Jaya, Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan

No Akaun : 5623 5750 2760

Jumlah Pelawat

Today131
Yesterday299
Total575946
Thursday, 19 October 2017 09:48
Powered by CoalaWeb
Go to top