Setelah mustaid sekeliannya bermulalah proses penubuhan brass band itu. Cikgu Jamaluddin sibuk mengrekrut anggota – 59 orang semuannya – 58 pemain dan 1 orang ketua, dinamakan Drum Major (ada yang mengatakan Sarjan). Memandangkan projek ini merupakan Royal Command ayahanda (yang buta huruf tentang muzik) terpaksa memantau dan mengikuti perkembangannya. Dan dalam proses pemantauan itu ayahanda rasakan perkembangannya agak perlahan. Ini menimbulkan kebimbangan dihati ayahanda. Tuanku boleh bertanya tentang kemajuannya bila bila masa sahaja. Memang Tuanku mengikuti closely hal itu, satu daripada insidennya ialah……….

Satu ketika kerana hectic menjalankan tugas, Tuanku dinasihatkan berehat di hospital. Pengarah Pelajaran Pahang (Dato’ Razak Ator – yang memang rapat dengan ayahanda) mengajak ayahanda menemaninya mengadap Tuanku di hospital (Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan). Oleh kerana Tuanku bukan gering sangat – sekadar fatigue kot – pelawat-pelawat VIP dibenarkan masuk mengadap tanpa had. Pengarah Pelajaran Pahang termasuk golongan VIPlah. Ayahanda dapat tumpang tiket VIP (kerana mengiring VIP).

Dalam Wad Tuanku ramai VIP – Ketua-Ketua Jabatan, dan Orang-Orang Besar Istana. Melihat kami masuk Tuanku – seperti biasa senyum lalu menyapa. Biasanya pelawat-pelawat (VIP) tidak banyak bercakap; Tuanku yang banyak berceloteh. Kami hanya respon apabila dimajukamn soalan-soalan seperti “Haa Ape Kabo?”. Jawapan biasa “Alhamdullillah Tuanku”.

Tiba-tiba Tuanku memandang ayahanda, senyum membawa ke ketawa kecil, dan kemudian menghala ke VIP-VIP “Ini Pengetua Sekolah Sains. Heem, tau tak, dia guna nama saya untuk mengelak cukai. (Ketawa kecil). Saya bagi duit beli alat muzik untuk tubuh brass band. Dia pergi beli kat Singapore. Dah tu nak elak cukai guna nama saya, pandai… Takpe lah untuk budak-budak sekolah”. Ayahanda tak terkata apa-apa-apa, tersengih-sengih – takut, malu dan macam-mana. Tetapi nyata Tuanku tak murka, senyum sepanjang; lega!! Nyata (yang ayahanda tak tahu, bahawa permohonan mengecualikan cukai alat-alat itu yang ayahanda buat melalui SUS Tuanku) rupanya disembahkan oleh SUS kepada Tuanku (dan tentunya mendapat perkenan). Kemudian...

“Dah mula ke brass band?” titah-tanya Tuanku. Laa instrument baru 3 minggu tiba, Tuanku dah tanya.

“Budak-budak dah dipilih, dan dah mula berlatih, Tuanku”. Bab “budak-budak dah dipilih” tu benar (tak bohong); tetapi bab “mula berlatih” tu separuh benar. Budak-budak baru mengenal alat-alat dan memilih mana-mana instrumen yang sesuai dengan minat, kebolehan dan fiziknya. Yang main drum kenalah yang rendah, sebab dia akan berada di barisan hadapan sekali. Yang memukul drum besar, mesti berbadan besar dan tegap, manakala yang meniup tronbone mesti yang tinggi. Hakikatnya mereka baru berkenalan dengan instrument pilihan mereka. Jadi latihan sebenar belum nampak bermula. Itu yang separuh benar tu.

Keluar dari wad dalam berjalan ke kereta, Dato’ Razak (Pengarah) berkata “Berat tugas engkau, Rahim”

Ayahanda menjawab, “nampaknya begitulah”

Hari-hari selepas itu ayahanda menung; macamana nak cepatkan tertubuhnya brassbanbd ini. Kalau Tuanku dah ambil tahu, bererti suatu yang perlu diberi perhatian serious. Kalau mengikut cara CikGu Jamaluddin melatih, ayahanda kira satu tahun lagi belum dapat siap siaga brass band kita. Masa itu kebetulan pula Kesatuan Guru_guru melancarkan kempen “Work To Rule” sebagai tuntutan penambahbaikan perkhidmatan. Ini bermakna ahli-ahli kesatuan bekerja mengikut jadual dan masa sahaja. Habis waktu kerja, tiada lagi kerja lebih (masa). Di SEMSAS waktu itu ramai juga ahli kesatuan. Ayahanda tidak pasti samada CikGu Jamaluddin ini ahli kesatuan atau tidak. Yang pasti latihan brass band dijalankan seminggu sekali mengikut jadual ko-kurikulum sahaja – 40 minit. Akhirnya ayahanda putuskan ‘ini tak boleh jadi; macam ni brass band tidak akan bergerak sehingga Tuanku bertanya kali kedua. Ini mesti dielakkan.

Walau bagaimanapun nasib menyebelahi ayahanda. Suatu hari ayahanda terjumpa Cikgu Murad Hamid seorang guru muzik di sebuah sekolah rendah di Kuantan. Rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi CikGu Murad ini. Masa ayahanda mula-mula mengajar di SMA (selepas Kolej, sebelum masuk Universiti) Cikgu Murad baru di Tingkatan 5. Beliu terkenal dengan “The Devils” –kumpulan kugiran yang ditubuhkan bersama rakan-rakannya. Minat dan kebolehannya dalam muzik luar biasa; bagi mereka yang membesar di Pekan pencapaiannya dalam bidang muzik boleh dibanggakan. (Kalaulah CikGu murad ini membesar di luar Pekan, tentu dia pergi lebih jauh dari itu)

Perjumpaan itulah yang membawa CikGu Murad berhijrah ke SEMSAS. Setibanya CikGu Murad di SEMSAS beliau terus (pinjam phara B.Inggeris) get down to business. Ayahanda beri tahu beliau yang ayahanda mengejar masa, dan Tuanku sangat perihatin atas perkembangannya. Latihan digandakan. Untuk membantu beliau, khususnya dalam bidang marching dan formation, CikGu Murad meminta bantuan rakannya – Encik Wan Ahmad - jurulatih kawad di Pusat Belia Kuantan. Sementara itu uniform pun ditempah. Sebelum itu gambar rajah uniform dihantar ke Istana untuk mendapat perkenan Tuanku, kerana Tuanku insist uniform mesti seperti Askar Melayu, kecuali warna samping.

Sekitar lima bulan, brassband bolehlah dikatakan dah siap. Latihan-latihan diteruskan untuk polish up lagu dan formation. Selain lagu-lagu march CikGu Murad banyak memilih lagu-lagu Melayu klasik – Ketipang Payung, Can Mali Can, Rasa Sayang antaranya. . Walau pun dah sedia, namum keyakinan untuk public appearance belum belum diuji. Peluang untuk perform pun belum ada.

Akhirnya peluang untuk persembahan pertama memang ada. Pada tahun itu Pahang dipilih menganjurkan satu acara penting – mungkin Olahraga MSSM atau PSKPM (ayahanda dah lupa yang mana satu). Pembukaan rasmi acara tersebut dilakukan oleh KeBawah Duli Tuanku sendiri. Mengikut aturcara pembukaan rasmi diserikan oleh sebuah brass band; kami rasa teruja; tentulah brass band SEMSAS akan dijemput. Rupanya harapan itu meleset; kita tidak dijemput. Semasa kita memulakan brassband, sebuah sekolah lain juga menubuhkan satu pasukan. Mereka lebih agresif. Pasukan inilah yang diberi penghormatan di majlis tersebut. (Di kala ini Pengarah Pelajaran Pahang , Dato’ Razak Ator telah bertukar: jadi Pengarah baru yang mengemudikan JPN Pahang. Yang pada pengamatan ayahanda tidak berapa mesra dengan SBP).

Seperti dijadual Tuanku berangkat untuk melakukan pembukaan rasmi. Ayahanda menjauhkan diri, bimbang terserempak dengan Tuanku; oleh itu ayahanda duduk di bilik urusetia kerana SEMSAS diberi tugas Pengerusi JK Kecil Rekod dan Hebahan bagi event tersebut. Acara perasmian pun berlangsung dengan diserikan oleh brass band tadi. Tiba-tiba seorang pegawai masuk ke bilik urusetia dan memberitahu Tuanku titah mengadap.

“I thought our brass band should perform just now” tegur Tuanku, serious, setelah ayahanda mengangkat sembah dan tercegat di hadapan Baginda. Tak dapat nak digambarkan perasaan ayahanda pada masa itu. Apa alasan nak diberi. Lutut rasa nak lembik. ‘Come on Smart Alex what is your excuse now’ bisik intuition. Ya, apa alasan nak beri sekarang. Seboleh-bolehnya ditahan panic. Nak sembahkan kita tidak dipelawa, nanti ramai orang “terkena”. Alasan itu senang, selamat bagi ayahanda; tetapi “memijak ibu jari orang” (step on other peoples’ toes). Jawapan itu bakal mengundang suasana tidak harmoni antara SEMSAS (dan ayahanda) dengan JPN (dan dengan Pengarah [yang kurang mesra SBP])

“Ampun Tuanku, sebenarnya band kita dah ready. Tapi rasanya tidak sesuai dibawa ke khalayak ramai sebelum dipersembahkan kepada Tuanku terlebih dahulu. Patik sebenarnya bercadang menyilakan Tuanku ke sekolah untuk Tuanku menyerahkan secara rasmi band itu, kemudian barulah boleh buat public appearance”. Entah dari mana datang jawapan itu ayahanda sendiri tak tau. Yang pasti jawapan itu, menyelamatkan ayahanda dan ramai pihak, tetapi mengundang sekali lagi kerja keras.

“Bila tu?” tanya Tuanku.
“Bila agaknya Tuanku senang”
“Pergi jumpa Datuk Darus” maksudnya Setiausaha Sulit Tuanku.
“Tuanku”, angkat sembah dan beredar.

Menjadi Ahli EXSAS

Keahlian EXSAS terbuka kepada bekas pelajar SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan (SEMSAS) yang dahulu dikenali sebagai SM Sains Pahang (SMSP). Daftar DISINI.

Akaun Bank EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar Semsas

Bank : Maybank Berhad, Cawangan Kelana Jaya, Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan

No Akaun : 5623 5750 2760

Jumlah Pelawat

Today249
Yesterday327
Total575483
Tuesday, 17 October 2017 21:22
Powered by CoalaWeb
Go to top