Berita dan Foto : Siti Nadirah Hafidzin
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Rasa sebak, sayu dan hiba dirasai sesiapa saja apabila mengenangkan kejadian kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato’ Keramat Hujung, Kuala Lumpur, 14 September lalu hingga mengorbankan 23 nyawa dalam sekelip mata.

Perasaan sama turut dirasai Zamri Yusoff yang tidak dapat menahan kesedihan sebaik saja mengetahui mengenai kejadian itu sebelum dia terus ke pusat tahfiz terbabit untuk melihat sendiri keadaan sebenar.

Bermula daripada itu, Zamri yang juga Pengerusi Malaysian Woodworkers Association (MWA) terpanggil untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan pusat tahfiz terbabit terutama dalam bentuk kelengkapan harian.

Menurut Zamri, dia terus memaklumkan kepada hampir 300 ahli MWA mengenai hasratnya untuk membantu menyediakan kelengkapan untuk rumah tahfiz terbabit.

TIDAK kenal erti penat dalam menyiapkan kelengkapan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

“Hasrat itu dipersetujui semua ahli dan kami mula mengadakan perbincangan terperinci mengenai tugas yang akan dilakukan dalam menyiapkan semua keperluan.

“Antara keperluan yang akan disiapkan adalah rehal dan rak al-Quran, meja guru, kabinet, meja mesyuarat, katil dua tingkat, almari berkembar dan rak fail,” katanya.

Menurut Zamri, semua kelengkapan itu akan dibina secara sukarela dan bergotong-royong oleh ahli MWA di Markas MWA di Kayu Emas Woodcraft, Bandar Bukit Puchong, Selangor.

“Sukarelawan kami boleh membawa peralatan pertukangan ringan bersesuaian selain menggunakan semua kelengkapan yang ada di Kayu Emas Woodcraft untuk menjalankan kerja pertukangan.

“Ahli MWA dan sukarelawan boleh datang pada bila-bila masa di markas mengikut kesesuaian masa mereka untuk menyiapkan semua kelengkapan seperti disenaraikan,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini pihaknya menyiapkan rehal al-Quran bersama rak dan ia sudah dihantar ke pusat tahfiz terbabit.

“Kini kami dalam fasa untuk menyiapkan katil bertingkat, kabinet al-Quran dan fail untuk minggu kedua. Syukur sambutan diterima amat menggalakkan dan sukarelawan kami datang dari pelbagai negeri termasuk dari Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Johor untuk bersama-sama menyiapkan kelengkapan ini,” katanya.

Usaha dipermudahkan

Zamri berkata, dia yakin usaha pihaknya dalam menyiapkan semua keperluan pusat tahfiz terbabit akan dipermudahkan berkat kerjasama dan bantuan daripada pelbagai pihak.

“Jika diikutkan nilai pasaran barangan yang diperlukan dalam projek ini dianggarkan mencecah RM200,000 di mana kos material diperlukan kira-kira RM70,000.

“Sehingga kini ahli yang terbabit seramai 40 orang. Ada antara mereka yang datang setiap hujung minggu, ada yang datang pada minggu tertentu mengikut kelapangan dan ada juga yang datang pada hari bekerja untuk menyiapkan projek,” katanya.

Menurutnya, dana diperoleh daripada sumbangan ahli, orang awam yang mengikuti Facebook projek juga beberapa individu tertentu yang giat membantu mengumpul dana secara sukarela.

PROSES melicinkan permukaan kayu untuk menyiapkan rehal al-Quran.

“Ada juga pengedar yang menyumbangkan bahan seperti kayu.

Selain itu, ada juga individu yang menyumbangkan makanan dan minuman untuk sukarelawan. Saya yakin usaha kami ini akan dipermudahkan dan berjalan dengan lancar sehingga selesai semuanya,” ujarnya.

Zamri berkata, usaha dilakukan pihaknya itu juga selari dengan asas penubuhan MWA iaitu menjalankan aktiviti kemasyarakatan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Sebelum tugas ini dilakukan, saya bertemu sendiri dengan pengetua pusat tahfiz terbabit untuk mengetahui barang yang mereka perlukan.

“Saya nampak kesungguhan pada setiap sukarelawan yang menyertai projek ini dan saya yakin kami dapat menyiapkannya dalam tempoh dirancang,” katanya.

Tambah Zamri, dia juga berharap semua kelengkapan yang disiapkan pihaknya sedikit sebanyak dapat mengembalikan keceriaan penghuni pusat tahfiz itu.

 

Rapatkan hubungan

Selain bersama-sama dalam menyiapkan kelengkapan itu, setiap ahli MWA dan sukarelawan yang terbabit gembira dengan tugasan mereka kerana ia secara tidak langsung dapat menambah kenalan.

Menurut seorang daripada ahli MWA, Mohd Shaharul Nizam Mohd Shuhaimi, 32, yang menetap di Shah Alam, dia akan datang ke markas setiap Sabtu dan Ahad dalam membantu menyiapkan keperluan terbabit.

“Isnin hingga Jumaat saya tumpukan pada tugas saya yang juga sebagai tukang kayu manakala hujung minggu adalah waktu untuk projek ini.

“Saya gembira dan bersemangat kerana dapat bersama-sama menyumbangkan kemahiran dan tenaga dalam projek amal ini,” katanya.

Menurutnya, projek itu juga membolehkannya mengenali lebih ramai tukang kayu dari seluruh negara yang datang ke markas setiap hujung minggu untuk bersama-sama membantu.

“Projek ini antara satu usaha murni yang membolehkan kami memberikan sumbangan kecil bagi melancarkan urusan pembelajaran anak-anak di situ.

Semoga usaha kecil ini dapat memudahkan anak-anak menuntut ilmu supaya mereka boleh berbakti kepada masyarakat satu hari nanti,” katanya.

ZAMRI (kiri) bersama antara individu yang terbabit dalam projek amal itu.

“Saya juga berharap apa yang kami lakukan ini berjaya mencapai objektif dan pada masa sama dapat mengumpul dana tambahan bagi membolehkan projek ini siap sepenuhnya,” ujarnya.

Tambahnya, projek itu dijangka dapat disiapkan menjelang November depan dengan semua kelengkapan yang dibuat akan diserahkan kepada pusat tahfiz itu.

“Ini antara usaha dan bantuan yang dapat kami lakukan sebagai tukang kayu khusus kepada golongan memerlukan. Diharap proses pelaksanaannya dipermudahkan dengan lebih ramai lagi tukang kayu turut serta dalam projek amal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 3:08 PM

https://www.hmetro.com.my/hati/2017/10/275898/bakti-si-tukang-kayu

Menjadi Ahli EXSAS

Keahlian EXSAS terbuka kepada bekas pelajar SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan (SEMSAS) yang dahulu dikenali sebagai SM Sains Pahang (SMSP). Daftar DISINI.

Akaun Bank EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar Semsas

Bank : Maybank Berhad, Cawangan Kelana Jaya, Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan

No Akaun : 5623 5750 2760

Jumlah Pelawat

Today73
Yesterday224
Total593828
Friday, 15 December 2017 12:38
Powered by CoalaWeb
Go to top