Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

TIADA kata yang dapat menggambarkan kesedihan Mazlan Mohd Rashid, 54, apabila kehilangan isteri dan tiga anak tercinta sekali gus dalam kemalangan di kilometer 161.3, Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman, dekat Maran, hari ini.

Lebih memilukan, kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas membeli belah di ibu negara bagi menyambut Aidilfitri.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa Azian Abdullah, 50; Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Adriana, 15; dan Mohamad Danish Najmi, 10, maut di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan.

Mazlan berkata, dua lagi mangsa yang juga anaknya iaitu Mohd Shahrul Ikhram, 20, dan Fatin Nur Athirah, 19, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Menceritakan saat akhir ketika bersama keluarganya, dia memberitahu enam beranak itu bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan memaklumkan ingin membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.

"Saya kebiasaan tidak ikut (pergi membeli belah) dan beri keizinan kepada isteri dan anak-anak untuk keluar membeli belah.

“Saya di Kemaman menjalankan perniagaan runcit dan tunggu kepulangan mereka sahaja membawa pakaian yang dibeli.

"Kali terakhir isteri telefon 11 malam tadi memaklumkan akan bertolak balik ke rumah. Saya difahamkan mereka juga ada singgah di kawasan rehat dan rawat (RnR) Temerloh untuk berehat. Tiba-tiba pagi ini saya dimaklumkan mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jengka, di sini.

Dalam nada sebak Mazlan berkata, dia reda dengan pemergian isteri dan anak mereka pada bulan Ramadan ini dan mengharapkan semua mereka di tempatkan di kalangan orang beriman.

“Anak sulung saya (Fatin Najwa) baharu tamat pengajian di universiti swasta dalam bidang kejuruteraan dan dia dalam perancangan untuk memulakan kerjaya, namun apakan daya Allah SWT lebih menyayanginya dan menjemput mereka di bulan baik ini.

“Anak bongsu saya (Mohamad Danish Najmi) juga sebelum ke Kuala Lumpur berpesan kepada saya untuk jagakan kucingnya dan memberi makan. Kenangan ini yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau menjangkakan semua jenazah ahli keluarganya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Cheneh, Kemaman, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu Mohd Shahrul Ikhram dari arah Kuala Lumpur menuju ke rumah mereka di Kemaman sebelum terbabas.

Beliau berkata, Perodua Myvi itu dikatakan terbabas ke kiri jalan dan melanggar bahagian hujung pembahagi jalan sebelum besi pembahagi jalan itu menembusi kenderaan.

“Semua mangsa tersepit di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan anggota bomba kira-kira 10 pagi.

“Ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik dan jalan lurus menuruni bukit. Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengesan saksi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Akaun Kebajikan EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS
Bank : Affin Bank Wangsa Maju
No Akaun : 105040031824

Akaun Bank EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar Semsas

Bank : Maybank Berhad, Kelana Jaya

No Akaun : 5623 5750 2760

Jumlah Pelawat

Web Traffic: 717145 | CoalaWeb
Go to top