Artikel asal : https://www.hmetro.com.my/WM/2022/07/857569/seksa-berkali-ganda 
Oleh : Nurul Husna Mahmud - nurul_husna@,hmetro.com.my 

Dr Nurhazinat Mohamed Yunus (89)

"BUKAN kami mengada-ngada atau sengaja mencipta alasan untuk tidak bekerja atau melakukan kerja harian, tetapi kesakitan ditanggung wanita yang mengalami endometriosis adalah benar," kata Surita Morgan. 

Beliau antara yang mengalami endometriosis dan Pengasas Persatuan Endometriosis Malaysia (MyEndosis) berkata, wanita yang senasib dengannya sering kali dipandang serong kerana tidak berupaya menahan kesakitan setiap kali datang bulan. 

"Bagi yang mengalami masalah ini saban bulan, mereka tertekan kerana tidak mampu menahan kesakitan selain berdepan layanan tidak wajar daripada pelbagai pihak yang tidak mengetahui penderitaan wanita endometriosis.

"Golongan terbabit kerap dipersoalkan cuti sakit oleh majikan, menerima sindiran rakan dan ahli keluarga selain salah faham masyarakat umum yang berpendapat menahan kesakitan akibat datang bulan sesuatu yang normal," katanya.

Tambah Surita lagi, ramai yang tidak tahu kesakitan datang bulan individu yang mengalami endometriosis berkali ganda dan boleh mengundang komplikasi lain termasuk kerosakan organ serta kurang kesuburan dalam kalangan wanita.

"Paling perit ialah kebanyakan wanita endometriosis hilang sokongan pasangan kerana isu kesuburan.

"Setakat ini penyelesaian selama-lamanya untuk hilangkan kesakitan terlampau itu hanya dengan membuang rahim yang mana ramai wanita tidak ramai sanggup lakukan.

"Malah, ramai yang berkorban untuk terus melalui kesakitan sambil berharap untuk memiliki cahaya mata sedangkan peluang itu hampir mustahil atau tipis bagi pesakit endometriosis tahap empat dan lima.

"Wanita atau penghidap endometriosis ini sebenarnya tidak pasti keadaan sehingga mereka lambat didiagnosis masalah itu menyebabkan ia tidak ditangani dengan baik," katanya.

Sebagai sokongan dan memberi kesedaran berterusan kata Surita, apa sahaja platform atau saluran dapat membantu wanita yang mengalami masalah ini termasuk talian khas untuk membantu, pihaknya memanfaatkan peluang itu.

"Kolaborasi dengan Bayer dan DoctorOnCall menerusi telekesihatan diharap dapat memberi sokongan diperlukan dalam menangani masalah wanita endometriosis," katanya.

Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Thomson Hospitals, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus antara 10 pakar obstetrik dan ginekologi yang terbabit dalam projek telekesihatan itu berkata, majoriti pesakit yang mendapatkan bantuan adalah wanita yang mengalami endometriosis tahap tiga dan empat.

"Kira-kira 40 peratus dari pesakit endometriosis mengalami masalah kesuburan dan atas faktor itu barulah pesakit ini mengetahui mereka mengalami endometriosis selepas berkahwin atau tidak dapat tahan sakit.

"Hanya 10 peratus mewakili fasa satu dan dua yang mana memberi kesimpulan kemungkinan ramai wanita endometriosis tidak sedar mengalaminya.

"Golongan ini perlu dicapai supaya endometriosis dapat diurus dengan sewajarnya dan meningkat kualiti pesakit," katanya.

Kata pakar itu lagi, kajian sehingga hari ini masih gagal mengesan punca sebenar dan merujuk ia berpunca daripada situasi sel yang abnormal.

"Endometriosis berlaku apabila tisu-tisu yang menempel di rahim mula tumbuh di tempat lain seperti pada ovari, tiub fallopio, usus, buah pinggang atau jarang sekali berlaku di paru-paru.

"Simptom yang dialami setiap wanita mungkin berbeza, tetapi mereka boleh mengalami haid yang menyakitkan termasuk bahagian ari-ari atau belakang.

"Tisu abnormal turut dikenali sebagai sista (cysts) endometriosis yang ditemui dalam atau pada tiub fallopio, usus, pada, di belakang atau di sekitar rahim di kawasan antara faraj dan rektum.

"Pendarahan akan berlaku kesan daripada penyakit itu dan menyebabkan kesakitan, keradangan, parut dan kemungkinan untuk mengalami kerosakan organ," katanya.

Apabila sista endometriosis menempel di bahagian organ lain boleh juga menjadi punca ia disalah tafsir penyakit lain jika tidak menemui pakar sakit puan.

"Banyak juga kes salah diagnosis termasuk kebanyakan menyangkakan ia masalah usus (bowel problem) dan menjalani prosedur endoskop.

"Tetapi, dengan khidmat telekesihatan endometriosis, capaian maklumat lebih baik kerana wanita boleh berhubung dengan pakar itu sendiri dan menjawab permasalah endometriosis lebih tepat," katanya.

Disiarkan pada: Julai 2, 2022 @ 7:00am

 

Akaun Kebajikan EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS
Bank : Affin Bank Wangsa Maju
No Akaun : 105040031824

Akaun Bank EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar Semsas

Bank : Maybank Berhad, Kelana Jaya

No Akaun : 5623 5750 2760

Jumlah Pelawat

Web Traffic: Hari Ini 243 | Total 1692025 | Powered by CoalaWeb
Go to top