SINAR HARIAN | MUKHRIZ MAT HUSIN  | 12 Jun 2021

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Usaha dan komitmen tinggi daripada pihak guru serta pelajar menjadi faktor kejayaan yang menyumbang kepada keputusan terbaik dalam pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepanjang tempoh lima tahun.

Seorang guru, Shamsukama Mohd Zahri berkata, keputusan berkenaan memang wajar dicapai oleh pelajar berikutan cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh mereka akibat penularan pandemik Covid-19.

 

Katanya, pihak guru sentiasa mempelbagaikan opsyen dalam kaedah mengajar bagi memastikan pelajar-pelajar dapat mengikutinya sepanjang pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Dalam satu platform pembelajaran, katakan mereka ada pautan untuk Google Meet, murid akan dikekalkan dalam pautan itu, jadi bila cikgu habis mengajar, cikgu seterusnya sambung masuk dalam pautan yang sama dan meneruskan kelas. 

“Itu adalah salah satu cara yang digunakan oleh guru-guru di sana untuk memastikan murid-murid ada di tempatnya dan pada masa sama, dapat mengurangkan masalah teknikal yang mungkin berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu. 

Shamsukama berkata, usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembangkan alternatif dalam PdPR menjadikan kaedah tersebut dapat meliputi semua golongan pelajar samaada dalam kawasan bandar atau pedalaman. 

Menurutnya, konsep PdPR boleh merangkumi kaedah 'offline' dan ‘off-site’ selain daripada kaedah dalam talian. 

“Kesemua (alternatif) itu membantu kerana ia berfungsi untuk situasi-situasi yang berbeza sebab setiap pelajar ada bermacam-macam situasi yang mereka hadapi. 

“Sebab kalau pelajar-pelajar tidak dapat bersama-sama bersemuka secara dalam talian seperti aplikasi Google Meet, Zoom dan sebagainya, mereka sediakan pembelajaran secara luar talian,” katanya. 

Dalam pada itu, Shamsukama berkata, tidak semua guru berada dalam situasi terbaik untuk pembelajaran melalui konsep PdPR. 

“Ada cikgu yang kawasan rumahnya tidak mendapat talian, terpaksa mengajar di dalam kereta. Lepas itu terpaksa keluar dari rumah setiap kali mengajar. 

“Ada cikgu yang tidak dapat sediakan gajet untuk anak-anaknya, malah dia sendiri pun berkongsi gajet dengan anak-anaknya. Jadi apabila dia mengajar, dia terpaksa tinggalkan anak-anaknya untuk tidak belajar,” tambahnya. 

Sementara itu, Shamsukama berharap prestasi pencapaian SPM pada tahun depan dapat meningkat ke tahap yang lebih baik. 

Jelasnya, KPM tentunya dapat memperkenalkan lebih banyak inisiatif baru yang mencakupi segala keperluan guru dan pelajar dalam proses pembelajaran pada masa yang akan datang. 

Sudah pastinya pengalaman pada tahun 2020 berhubung pembelajaran dalam talian membantu KPM dalam mengatasi kekurangan dan sebagainya. 

“Mungkin pihak KPM boleh melihat perkara ini secara global serta dapat keluar dengan opsyen lain yang lebih baik terutamanya berkaitan dengan kehadiran murid dalam sesi PdPR,” katanya. 

Pencapaian calon SPM bagi tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 berbanding 4.86 pada tahun 2019. 

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, GPN tahun itu juga adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/143884/BERITA/Nasional/Usaha-tinggi-guru-pelajar-punca-kejayaan-SPM-2020? 

Akaun Kebajikan EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS
Bank : Affin Bank Wangsa Maju
No Akaun : 105040031824

Akaun Bank EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar Semsas

Bank : Maybank Berhad, Kelana Jaya

No Akaun : 5623 5750 2760

Jumlah Pelawat

Web Traffic: Hari Ini 102 | Total 1517418 | Powered by CoalaWeb
Go to top