Artikel asal :
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2026553&fbclid=IwAR1QtXHmbitz0a7sG7aOF1JrjatYWlNwTCU9xC1WLnbBa6d7i2Ou3SRtmX8 

 

KUANTAN, 24 Nov -- Percubaan seorang peniaga mengetengahkan aiskrim perisa buah-buahan buatan sendiri yang dipelajari ketika mengikuti kursus sekitar tiga tahun lepas di ibu negara ternyata berbaloi apabila ia mendapat sambutan baik, malah aiskrimnya itu mempunyai peminatnya tersendiri di sini.

Pengasas Nic'sPop Nik Mohd Ruzaini Nik Mohd Adib, 39, berkata menerusi jenama berkenaan beliau menghasilkan lebih 10 perisa popsicle ice-cream atau lebih dikenali sebagai aiskrim batang iaitu durian, kurma, madu, cempedak, nanas, vanilla cookies, tembikai susu, coklat, mangga dan strawberi.

Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata aiskrim perisa durian, kurma dan cempedak merupakan produk premium keluarannya kerana menggunakan buah asli di samping ramuan lain untuk menghasilkan aiskrim iaitu bahan tenusu dan gula. 

"Bagi perisa aiskrim memang menggunakan buah-buahan sebenar supaya rasanya lebih lemak dan asli, seolah-olah bila kita gigit aiskrim itu terasa seperti sedang menikmati buah sebenar...saya memilih buah-buah itu kerana ia kegemaran ramai dan sesuai dijadikan aiskrim. 

"Cara asas menghasilkan aiskrim berkenaan memang saya belajar ketika mengikuti kursus pada 2018, namun ada yang diolah mengikut citarasa sendiri dan akhirnya percubaan itu berjaya memuaskan hati pelanggan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di sini hari ini. 

Mengimbau kembali penglibatannya dalam mengetengahkan Nic'sPop, beliau berkata ia merupakan perniagaan 'talian hayatnya' selepas mendapat dorongan isteri Fazlina Safri, 39, setelah banyak mencuba perniagaan lain seperti menjual produk kesihatan, baju dan tudung. 

Katanya selain simpanan sendiri, duit simpanan anaknya Nik Solihin, 11, turut dipinjam sebagai modal permulaan untuk membeli peralatan seperti mesin dan peti sejuk beku yang menelan belanja hampir RM20,000. 

Berkongsi cabaran menghasilkan pemanis mulut itu, Nik Mohd Ruzaini berkata ia memerlukan masa lama kerana perlu melalui proses sejuk beku selain beliau menghadapi limitasi dari segi memasarkan produk itu kerana segala-galanya dilakukan seorang diri. 

"Dari membeli bahan mentah, sehingga proses menghasilkan, membungkus dan mempromosikan semuanya   dilakukan sendiri dengan dibantu isteri apabila berkelapangan... selalunya proses penyediaan bermula pagi dan berakhir pada waktu malam," katanya. 

Anak jati Pahang itu berkata selain media sosial beliau turut meletakkan aiskrimnya di pasar raya sekitar Kuantan antaranya di MG COOP Mart serta Penama yang dijual dengan harga bermula RM1 hingga RM3.50.

"Produk saya dikenali melalui mulut ke mulut, dan salah satu cara nak aiskrim ini lebih dikenali saya letak di pasar raya berkenaan selain membuka reruai pada hari sukan sekolah kerana sasarannya ialah kanak-kanak yang tertarik dengan warna dan perisa," katanya.

Namun beliau berkata pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) akibat pandemik COVID-19 turut menjejaskan penjualan aiskrim menyebabkan fokus beliau kini adalah untuk kembali merancakkan perniagaan selepas pelbagai sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).  

-- BERNAMA

Akaun Kebajikan EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS
Bank : Affin Bank Wangsa Maju
No Akaun : 105040031824

Akaun Bank EXSAS

Nama : Persatuan Bekas Pelajar Semsas

Bank : Maybank Berhad, Kelana Jaya

No Akaun : 5623 5750 2760

Jumlah Pelawat

Web Traffic: Hari Ini 161 | Total 1541254 | Powered by CoalaWeb
Go to top